pengemis kasih ilahi

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq: 1-5)

Saturday, May 03, 2008


Syurga!Apakah sudah menjadi satu kebiasaan?

Bismillah-hir-Rahman-nir-Raheem

Dengan menyebut nama Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang menciptakan manusia sebagai bukti kehebatan dan kekuasaan-Nya. Tiada satu pun yang mampu mencipta melainkan Dia, tuhan yang pada-Nya terdapat segala kekuasaan dan gah, tuhan yang hanya Dia yang layak disembah. Ingatlah wahai saudaraku sekalian, sesungguhnya Allah berfirman di dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”

Ingatlah, sesungguhnya Allah menciptakan kita, manusia sebagai bukti kekuasaan-Nya dan agar kita mengerahkan segala keringat kearah pengabdian diri kita kepada-Nya. Sesungguhnya, Dia sahajalah tuhan yang Maha pengasih dan Penyayang keatas hamba-hambaNya, tuhan yang memiliki ‘arasy yang mulia daripada apa yang disifatkan.

Dunia masa kini menyaksikan manusia semakin lalai. Mereka lalai terhadap hakikat penciptaan diri mereka sendiri, seolah-olah kehidupan dan kematian itu suatu perkara yang remeh. Manusia sering kali diingatkan akan siksaan neraka yang menanti mereka yang lalai, namun telinga mereka seakan-akan pekak, tidak mampu mendengar kebenaran yang datang kepada mereka. Manusia semakin jauh terhadap hakikat mereka mencintai ilahi, kerana semakin ramai yang dikaburi dengan cinta palsu dunia.

Manusia masa kini semakin memandang enteng akan hakikat kebenaran akhirat. Perkataan syurga semakin mudah dilafazkan dimana-mana sahaja tanpa mengetahui akan hakikat syurga itu sendiri. Lihatlah lirik-lirik lagu, perkataan-perkataan yang dilafazkan oleh sang pencinta dengan wanita yang dicintainya, perkataan syurga sungguh amat mudah dilafazkan.

“Kita bercinta sehingga ke pintu syurga”

Apakah mereka benar-benar mengetahui bahawa pencintaan mereka akan membawa mereka ke pintu syurga? Tidak! Sesungguhnya mereka tiada mengetahui. Malahan, yang sungguh benar suka melafazkan perkataan syurga ini datang dari mereka yang jahil. Apakah mereka tidak mengetahui? Sekiranya amat mudah untuk memasuki syurga, mengapa perlu seorang manusia bernama Muhammad s.a.w bertungkus lumus, siang dan malam bekerja untuk mengharapkan keredhaan Allah? Mengapa perlu Nabi Muhammad ini menangis teresak-esak setiap malam dan solat malam sehingga bengkak jari-jari kakinya semata-mata mengharapkan pengampunan Allah? Itu Nabi! Sedangkan nabi sendiri, manusia yang maksum yang dijamin oleh Allah bahawa dosanya samada dulu sehinggalah yang akan datang diampunkan, masih lagi bertungkus-lumus mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah tidak pasti samada mampu menjejakkan kaki di syurga. Apatah lagi kita, manusia masa kini, yang jauh lebih lemah imannya. Apakah kamu begitu yakin akan mampu menginjakkan kaki kamu ke syurga?

Nabi sesungguhnya pernah didatangi oleh seorang lelaki, lalu bertanya kepadanya:

Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansoori, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Apa pandangan kamu jika sekiranya aku mengerjakan sembahyang yang difardhukan, berpuasa dibulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan aku tidak menambah walaupun sedikit. Adakah aku dapat memasuki syurga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ya.”

(Riwayat Imam Muslim)

Lelaki itu adalah an-Nu’man bin Qauqal al-Khuzaa’ie. Beliau menyertai peperangan Badar dan syahid diwaktu peperangan Uhud. Lihatlah akan maksud menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram. Apakah saudara sekalian mengerti akan maksud ini? Mengharamkan apa yang haram bererti menjauhinya sedangkan menghalalkan apa yang halal bererti mengerjakannya dengan beriktikad tentang halalnya. Banyak perkara boleh dimasukkan didalam ruang skop keluasan pengertian ayat tersebut. Amat panjang sekiranya hendak dijelaskan dengan lebih dalam maka usahalah saudaraku sekalian untuk kamu memahami erti ayat tersebut.

Sahabat Rasulullah sendiri amat khuatir akan mampukah mereka untuk memasuki syurga sehinggakan bertanya kepada Rasulullah. Itu merupakan sekecil-kecil amal yang mampu dilakukan oleh manusia. Sekarang bertanyalah kepada diri sendiri wahai saudaraku sekalian, apakah sekecil-kecil ‘amal (kelayakan/kriteria untuk ke syurga)ini telah kamu kerjakan agar dapat kamu memastikan alamat rumah akhirat kamu samada di syurga mahupun neraka. Bertanyalah kepada diri kamu sendiri wahai saudaraku apakah yang telah kamu lakukan untuk agama Allah ini dalam memastikan syurga yang sering kamu lafazkan akan mampu kamu kecapi suatu hari kelak. Bertanyalah kepada diri kamu sendiri dengan apa yang kamu ada sekarang akan mampukah membawa kamu ke syurga Allah? Bertanyalah kepada diri kamu sendiri wahai saudaraku sekalian, sesungguhnya tiada lain yang mampu untuk menyedari diri kamu sendiri akan hakikat ini melainkan diri kamu sendiri. Oleh itu, usahalah wahai saudaraku sekalian.


Wallahu'alam