pengemis kasih ilahi

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq: 1-5)

Friday, December 15, 2006

Orang di sana mencari, mereka di sini terkial-kial…

Bismillahir-rahmanir-rahim

Dengan nama Allah yang menciptakan, tiada yang lebih berkuasa selain daripada Allah, penguasa di langit dan bumi juga seluruh cakerawala dan alam ini. Segala pujian hanya bagi Allah, tuhan yang selayaknya di puji, tiada yang Maha terpuji melainkan Allah yang padaNya terdapat segala kekuatan, ketetapan dan pertolongan. Ya Allah, berilah hambamu ini sedikit pertolongan daripada semua pertolongan yang Engkau miliki dalam meneruskan ranjau perjuangan ini. Sesungguhnya, kepadaMu lah suatu hari nanti akan aku kembali, dalam perjalanan ini untuk menemuiMu kelak.

Sahabat-sahabat yang dirahmati, ingin sekali saya mengingatkan bahawa tiada siapa yang mampu memberikan pertolongan di akhirat kelak semasa hari perhitungan melainkan Allah dan mereka-mereka yang diizinkan oleh-Nya untuk memberikan syafaat. Ingatlah bahawa kita hidup didunia ini untuk menuai, dimana diakhirat kelak kita akan merasa hasilnya. InsyaAllah.

Sesungguhnya dunia masa kini menyaksikan suatu fenomena yang amat pelik. Mereka yang mengenali, namun menyia-nyiakan peluang yang ada di depan mata. Mereka yang mencari, begitu mengagumi dan cuba untuk mempelajari seberapa banyak yang boleh kerana terlihatnya mereka akan sesuatu yang begitu menarik, sehingga mampu menerusuk ke dalam hati mereka. Mengapa dunia masa kini menjadi sedemikian rupa. Mereka yang bergelar Muslim, menyia-nyiakan pengetahuan dan penghayatan serta pemahaman tentang hakikat kehidupan ini yang terkandung didalam Islam, bahkan menjadi suatu kehairanan bagaimana mereka yang digelar kufur (non-muslim) begitu tertarik kepada Islam seakan-akan mereka telah terlihat sebuah permata yang begitu menawan, sehingga mampu membuat mereka terpesona, langsung mencairkan hati mereka yang tuli. Mereka seakan tidak mahu melepaskan permata yang berharga yang semakin berjaya digenggam, seolah-olah seperti adanya suatu daya tarikan magnet terhadap mereka keatas permata Islam itu sehinggakan mereka akhirnya melafazkan SYAHADATUL-HAQ. Begitu terpesonanya mereka sehinggakan mereka sanggup melepaskan fahaman agama yang mereka anuti semenjak lahir lagi, fahaman agama yang mereka benar-benar junjung dan percaya selama mereka bernafas sehingga sewaktu mereka melafazkan syahadah. Berdasarkan kepada statistik semasa, semakin ramai orang Eropah mahupun orang Amerika, atau boleh dikatakan kesemua mereka yang digelar non-muslim, terlanggar hidayah Islam dan memilih Islam sebagai cara hidup mereka (they choose Islam as their deen!)

Sungguh pelik?

Suasana yang sebaliknya wujud pada Negara-negara Islam. Rata-rata ramai mereka yang bergelar Muslim pada masa kini, kebanyakannya tidak begitu mempunyai minat terhadap agama yang mereka anuti. Mereka bukan sahaja tidak memahami, bahkan juga tidak mengenali Islam. Bagi mereka, Islam itu hanyalah ritual-ritual yang selalu diamalkan apabila musim perayaan menjelang. Islam itu dilihat mereka hanyalah dengan pergi ke masjid. Islam itu hanya dianggap dengan pergi ke masjid pada waktu rehat makan tengah-hari hari jumaat, Islam itu bagi mereka adalah ke masjid pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan yang mulia, Islam itu bagi mereka hanyalah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, tanpa langsung mempunyai initiatif untuk mengetahui makna disebalik ungkapan yang telah mereka lafazkan, bagi mereka Islam itu hanyalah….Islam itu hanyalah….hanyalah….hanyalah…

TIDAK NAMPAKKAH KAMU AKAN PERMATA YANG DILIHAT OLEH ORANG-ORANG BARAT?!!

Mengapa begitu jumud pemikiran mereka, umat Islam. Langsung menerima Islam sebagai adat tradisi yang diwarisi turun temurun. Mengapa kamu beranggapan sedemikian? Apakah Islam itu adalah agama turun temurun, yang hanya dianuti sekadar menjadi pelengkap syarat kepada kehidupan kamu yang penuh materialistik? Jika demikianlah kamu mengambil Islam, maka kamu tidak ada bezanya dengan mereka yang suatu ketika dahulu, penuh berbuat kezaliman dimuka bumi, sebelum kedatangan Islam. Selidiklah sejarah, tahukah kamu bahawa bangsa Yunani dan Romawi berbuat sesuka hati mereka di muka bumi ini, dengan hanya mengambil agama keberhalaan mereka dan juga agama nasrani sebagai pelengkap syarat terhadap kehidupan mereka yang penuh dengan sifat materialistik. Agama Al-Masih, yang pada ketika itu masih belum tercemar, namun akhirnya tenggelam bersama dengan arus nafsu syahwat yang bergelora oleh para pemerintah Romawi dan juga masyarakatnya, sehinggakan agama yang dibawa oleh Al-Masih itu tercemar, hilang sinar cahayanya. Sedarlah kamu semua, Islam bukan hanya setakat ke masjid, Islam bukan hanya setakat berpuasa, Islam bukan hanya setakat membayar zakat, Islam bukan haya setakat ke baitullah, Islam bukan hanya setakat ritual-ritual dan amal-ibadat turun temurun yang kamu warisi. Islam bukan hanya setakat itu.

Lupakah kamu?

Tidakkah kamu ingat bahawa Islam adalah segala-galanya. Dari sekecil-kecil perkara seperti ketandas hinggalah ke sebesar-besar perkara seperti pentadbiran, semua itu adalah Islam. Islam adalah syumul. Lupakah kamu akan konsep ketuhanan. Konsep ketuhanan bukan hanya meliputi kamu beriman kepada Allah, mengakui akan kewujudan-Nya, malah lebih daripada itu. Konsep ketuhanan meliputi semua aspek dalam kehidupan. Bagaimana kamu berbuat sesuatu perkara itu, semuanya hendaklah berdasarkan kepada konsep ketuhanan dalam Islam. Bagaimana kamu menjalani kehidupan seharian berasaskan semata-mata hanya kerana Allah. Bagaimana setiap tindakan, perbuatan, amal kebajikan yang kamu lakukan, adakah kerana Allah ataupun sebaliknya. Jikalau hendak dibahaskan tentang konsep ketuhanan dalam Islam terhadap kehidupan seharian, amatlah panjang, dan mengambil masa. Jadi, adalah lebih baik untuk kamu mencarinya, kerana ia termasuk dalam perkara asas dalam Islam. Perkara yang paling asas yang mencerminkan samada kamu mengenali tuhanmu yang Maha Esa, tiada yang sekutu dengan-Nya, tuhan pencipta dan penguasa sekalian alam.

Namun begitu…

Ramai umat Islam masa kini begitu tidak mempedulikan seruan-seruaan dan ajakan-ajakan untuk kembali kepada Islam yang sebenarnya. Mengapa? Kerana terikatnya mereka dengan kehidupan dunia. Malah, ada kala dan ketikanya, para da’i juga menunjukkan sifat terikat dengan keduniaan duniawi dalam keadaan tidak sedar. Eloklah kiranya saya membincangkan mengenai perkara ini pada kemudian posting. Apa yang ingin saya perkatakan disini adalah kepada umat Islam secara keseluruhannya. Mengapa kamu berasa senang dengan kehidupan di dunia ini? Mengapa kamu terbawa-bawa kehidupan materialistik yang sifat ini pernah ada pada kaum penzalim suatu ketika dahulu. Tidakkah kamu nampak bahawa kamu hanya sedang menzalimi diri kamu sendiri, bukannya orang lain.

“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.”

(Yunus: 44)

Inilah gaya hidup masa sekarang yang cuba dibentuk oleh musuh-musuh Islam. Membawa seluruh keadaan manusia didunia ini kepada kehidupan yang berasaskan material, menjadi manusia yang materialistik. Rumah tidak cukup hanya dengan mempunyai satu-dua macam perhiasan, bahkan mahu lebih daripada itu. Iklan-iklan di televisyen, pembawaan gaya hidup yang ditonjolkan melalui media massa, cukup untuk mempengaruhi atau men-‘tune’-kan pemikiran manusia diseluruh dunia, terutamanya masyarakat Islam untuk mempunyai kehendak untuk memiliki gaya hidup sedemikian rupa. Mereka, musuh-musuh Islam, kerana ingin melihat kemusnahan umat-umat Islam, dan juga demi mencapai kepuasan nafsu hidup mereka di dunia ini, sanggup menggunakan segala macam cara, biarpun memusnahkan kaum mereka sendiri.

Tidak nampakkah kamu?

Nampakkah kamu bahawa kehidupan yang cuba dibentuk oleh musuh-musuh Islam ini hanyalah kehidupan yang berasaskan nafsu syahwat semata-mata? Sedangkan kita mengetahui bahawa nafsu syahwat merupakan seteru utama kita, yang mesti ditundukkan demi mencapai kebahagian hidup di akhirat kelak. Namun, kebanyakkan manusia seolah-olah mentulikan pendengaran mereka, sengaja tidak mahu mendengar. Mereka mentulikan segala pancaindera mereka daripada seruan-seruan kepada Islam yang sebenar. Kerana apa? Kerana telah terbiasa dan senangnya mereka dengan kehidupan duniawi ini sehinggakan mereka merasakan akhirat itu tiada apa. Terlalu senang dan mabuknya mereka terhadap kehidupan dunia ini sehinggakan samar sekali kelihatan kehidupan akhirat itu dimata mereka. Tiada lagi pertimbangan antara baik dan buruk. Yang ada hanya sifat tamak, angkuh dan agung terhadap diri untuk menikmati kemewahan dengan seberapa banyak yang mungkin untuk dirasai didunia ini. Seperti mana masyarakat Yunani dan Romawi mabuk terhadap kehidupan dunia ini, begitu jualah mereka. Bahkan, masyarakat barat ketika ini begitu memegang teguh kepada prinsip hidup dan falsafah-falsafah Yunani. Inilah yang cuba ditiru pula oleh masyarakat Islam. Mengapa begini? Sedangkan Islam telah menunjukkan jalan hidup yang bersesuaian demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, namun masih mahu mereka mengikut telunjuk manusia barat. Walhal, sebenarnya mereka hanya mengikut telunjuk kebinasaan.

“Mereka (yang disembah itu) menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagi kami mengambil selain engkau (untuk jadi) pelindung, akan tetapi Engkau telah memberi mereka dan bapak-bapak mereka kenikmatan hidup, sampai mereka lupa mengingati (Engkau); dan mereka adalah kaum yang binasa."”

(Al-Furqaan: 18)

Tidak memahami…

Kurangnya pemahaman dan penghayatan terhadap Islam, lebih-lebih ilmu mengenal Allah yang sebenar-benarnya membuatkan mereka lebih lagi terjerumus ke lembah durjana. Ilmu mengenal Allah sangatlah penting dan memainkan peranan yang amat besar terhadap kehidupan seseorang muslim, yang membawa akibat kepada mahu ataupun tidak mereka memenuhi perintah yang Maha Kuasa. Peranan ilmu mengenal ilahi ini amat penting kerana ia mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan seorang muslim. Eloklah kiranya saya membincangkan perkara ini di masa yang lain. Namun, perkara yang paling untuk dimengerti adalah ilmu mengenal Allah amat penting bagi kehidupan seorang muslim kerana ia akan mencerminkan gaya hidup seseorang itu samada akan menjadi seorang hamba yang taat ataupun tidak. Amatlah sedih kiranya mendengar tentang khabar murtadnya seorang muslim beserta dengan kenyataan-kenyataan yang tidak mencerminkan langsung bahawa mereka ini sebenarnya telah berbelas mahupun berpuluh tahun menganuti Islam. Kerana apa mereka memilih selain Islam, semuanya adalah kerana tiadanya mereka mengerti akan Islam itu sendiri, malah langsung tidak mengenali tuhan pencipta alam yang telah mencipta dan menjaganya. Jikalau seseorang itu telah benar mengenali tuhannya, mana mungkin mereka mencari selain Allah, penguasa yang Maha Agung, yang pada-Nya terletak segala kekuatan dan kekuasaan yang tiada tolok bandingnya.

“Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rusak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.”

(Al-Anbiyaa’: 22)

Manusia barat...

Orang-orang barat, semenjak kejadian 11 September 2001, semakin ramai yang berjinak-jinak dengan Islam. Mereka semakin terikut-ikut dengan rentak Islam sehingga dunia menyaksikan Islam sebagai ‘the most fastest growing religion’ di negara yang begitu kuat memerangi Islam. Pelik? Memang pelik. Begitu pelik lagi apabila orang Islam sendiri tidak berbuat apa-apa dakwah kepada mereka sehinggakan mereka memeluk Islam. Bahkan merekalah yang senantiasa mencari kebenaran mengenai Islam yang begitu mempersonakan hati mereka, lantas meninggalkan cara hidup mereka yang lama, cara hidup yang mana umat Islam pada masa kini pula cuba menirunya. Semakin pelik lagi, bila pimpinan negara mereka begitu kuat memerangi Islam, menyebarkan fitnah yang begitu leluasa mengenai Islam, tetapi masyarakatnya pula sebaliknya. Mereka pula semakin tertarik dengan Islam. Apa yang menariknya Islam dimata mereka yang mana umat Islam zaman sekarang tidak mampu melihatnya? Tidakkah kamu, selaku seorang yang bergelar muslim tertanya? Mengapa mereka, orang-orang barat semakin berminat terhadap Islam, malah mengambil Islam sebagai cara hidup mereka? Jawapannya hanya kerana mereka melihat permata Islam itu. Mereka melihat Islam dengan kaca mata hati yang ingin mengetahui, bertanya tentang tuhan yang sebenarnya, bertanya mengenai mengapakah mereka diciptakan, lantas mereka melihat Islam sebagai jawapan kepada banyak persoalan yang mereka sebelum ini tidak berjaya menjumpainya. Apakah kamu, umat Islam menyedarinya?

Tidak berfikir...

Kebanyakkan umat Islam masa kini, tidak ramai yang mampu berfikir . Berfikir dari segi konteks yang sebenarnya. Mengapa? Kerana kamu dilahirkan sebagai muslim. Disebabkan kamu dilahirkan dalam keadaan Islam, maka kamu tidak menyedari atau memahami Islam sebagaimana seorang bukan Islam yang benar-benar ingin mendalami Islam. Disebabkan kamu dilahirkan dalam keadaan Islam, maka kamu mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap Islam berbanding dengan orang kufur yang ingin mengetahui mengenai Islam. Mereka, orang kufur, memahami Islam melebihi daripada umat Islam itu sendiri sehingga mereka mampu melihat permata yang tidak mampu dilihat oleh kaum muslimin. Kerana terlekanya umat Islam masa kini, terlarut dalam arus dunia sehingga mereka sendiri tidak mampu melihat Islam secara praktikal dalam kehidupan. Kerana tidak mengerti dan tidak mahu berfikirnya umat Islam masa kini, mereka tidak mampu melihat Islam dalam segala hal, dalam setiap perbuatan dan tingkah-laku, dalam mentadbir kehidupan seharian kita. Mereka, orang bukan Muslim, dengan terkesannya mereka terhadap pengajaran Islam, memeluk Islam kerana mampunya mereka melihat Islam secara praktikal didalam kehidupan. Hanya menerusi pengajaran mengenai Islam, sudah mampu mereka melihat Islam secara praktikalnya didalam kehidupan. Islam itu mampu menarik manusia kejalan yang benar dengan hanya menerusi pengajaran, intipati didalamnya. Tanpa perlu mereka, orang bukan Islam melihat kepada umat Islam itu secara praktikalnya, mereka sudah mengerti dan memahami Islam secara praktikalnya di dalam kehidupan. Apatah lagi sekiranya mereka orang bukan Islam mampu melihat Islam secara praktikalnya menerusi umat Islam itu sendiri, bukankah lebih baik. Kamu, umat Islam melihat kepada pengajaran-pengajaran manusia barat yang berlandaskan kepada falsafah Aristotle, yang bersifat materialistik dan sekular, tetapi sebaliknya berlaku dimana mereka, manusia barat pula yang melihat kepada Islam, untuk mencari kebenaran tentang penghidupan ini. Mereka, manusia barat yang kamu junjung perjuangan mereka, melihat kepada kamu untuk mencari erti kehidupan. Tetapi kamu, kerana tidak mampu berfikir, tidak mampu melihat kepada diri sendiri, tidak mampu melihat kepada Islam itu sendiri sebagai penjana kehidupan sehari-harian, berdasarkan matlamat sebenar penciptaan kamu.

Kembali berfikir!

Disini, saya menyeru agar kamu, umat Islam, berhenti daripada melihat kepada falsafah mengagung-agungkan barat dan mengikut cara hidup mereka yang bersifat materialistik. Tidak mengertikah kamu bahawa Rasul Allah, Nabi Muhammad s.a.w, sendiri hidup bersusah dan tidak pun menikmati kesenangan hidup didunia kerana mengertinya beliau akan kenikmatan hidup disyurga kelak. Dilihat kepada kehidupan ramai para sahabat, kebanyakkan mereka menolak kesenangan hidup didunia demi akhirat yang kekal abadi. Pernahkah kamu mengkaji dan menganalisis mengapa mereka menolak kesenangan hidup didunia, walaupun ditawarkan janji kehidupan yang amat mewah didunia? Jika kamu berfikir, nescaya kamu tidak akan terikut-ikut dengan semboyan materialistik barat. Mereka, para sahabat, mengerti bahawa kehidupan didunia ini hanyalah ujian untuk menentukan kedudukan kamu diakhirat kelak. Maka semakin kamu memperoleh kekayaan, maka semakin besar ujian yang kamu hadapi. Jika kamu gagal, maka tentulah kamu menjadi orang yang merugi. Ramai sahabat, walaupun memperoleh kenikmatan hidup yang melimpah-limpah yang dikurniakan Allah kepada mereka, namun mereka tetap tunduk dan patuh kepada Allah yang telah melimpahkan rezeki kepada mereka kerana mereka tahu bahawa mereka sedang mengalami ujian yang sangat besar daripada Allah. Kebanyakkan harta yang diperoleh diinfakkan ke jalan Allah, demi melihat agama suci Allah ini terus berkembang, biarpun mereka hidup susah dan melarat. Jika dianalisis lagi, kemewahan yang dinikmati didunia ini hanya bersifat sementara, kerana kemewahan diakhirat kelak yang menjadi kemewahan yang kekal abadi. Kemewahan didunia ini boleh hilang dengan sekelip mata dengan kehendak Allah, namun diakhirat, Allah telah menjanjikan kemewahan yang berpanjangan kepada hambanya yang bertaqwa. Jika dianalisis lagi, kemewahan hidup didunia hanya akan membawa kepada kehancuran umat dan diri itu sendiri. Kerana dengan kemewahan, timbullah berbagai jenis sifat mazmumah. Perasaan riak, dengki, iri-hati dan sebagainya muncul untuk memusnahkan umat Islam, dan itulah senjata yang digunakan oleh barat untuk memerangi umat Islam, agar masing-masing diri umat Islam dipenuhkan dengan rasa takbur, agar mereka terpesong daripada Islam yang sebenarnya, menjadikan mereka bermegah-megah dan bersifat mementingkan diri, langsung hilang nilai-nilai dan sifat-sifat murni yang ditanamkan oleh Islam kepada mereka. Lihatkah kamu? Bahawa menerusi sifat materialistik, mereka, musuh-musuh Islam berjaya menjinak-jinakkan umat Islam laksana mereka menjinakkan haiwan. Kerana dunia, kamu menyimpang daripada Islam. Kerana dunia, sanggup kamu mengenepikan Islam daripada kehidupan seharian kamu.

Berubah...

Kembalilah kamu kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Berubahlah walaupun dengan hanya dirimu sendiri. Ingatlah, selagimana kamu melihat orang lain untuk berubah dahulu, maka tiada perubahan yang akan berlaku kerana perkataan ‘ubah’ itu hanya layak digunakan keatas diri sendiri, barulah kamu dapat melihat perubahan itu. Tanpa kamu berubah, maka akan tiada perubahan yang akan berlaku. Jika semua umat Islam menantikan perubahan untuk berlaku tanpa diri mempunyai initiatif untuk berubah, maka sampai ke hari kiamat takkan berlaku perubahan melainkan dengan kehendak Allah s.w.t. Jika sekiranya kamu berubah, dan mereka yang lain turut berfikir untuk mengubah diri masing-masing, maka kamu akan menyaksikan perubahan yang sangat besar dalam sejarah akan berlaku. Kerana jika seluruh diri mereka yang bergelar Muslim berubah, maka kamu akan menyaksikan seluruh umat Islam itu berubah. Maka bersama-samalah kita berubah, kembali kepada Islam yang sebenarnya, bersama-sama kita, umat Islam kembali mengemudi nakhoda dunia ini kearah meng-Esa-kan Allah yang Maha Kuasa. InsyaAllah.

“…Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…”

(Al-Ra’d: 11)

Wallahu’alam.