pengemis kasih ilahi

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq: 1-5)

Friday, August 17, 2007

Keimanan kepada Hari Akhirat

Bismillahir-rahmanir-rahim

Dengan menyebut nama Allah yang menciptakan, segala puji bagi Allah, tuhan penguasa di langit dan dibumi. Maha Terpuji Engkau, Maha Suci Engkau, Maha Tinggi Engkau, yang memiliki ‘Arasy yang mulia daripada apa yang mereka sifatkan. Tuhanku, sesungguhnya kepada Engkaulah terdapatnya panduan hidup, maka Kau berikanlah bantuan-Mu dengan melorong hala tuju hidup hamba-Mu ini kepada pintu rahmat-Mu.

Disini ingin aku mengajak saudara-saudara seiman agar takut kepada Allah dan azab-Nya, sesungguhnya Allah berfirman dalam surah Al-Layl:


Maka (serentak Dengan memberi hidayah petunjuk) Aku memperingatkan kamu akan api neraka Yang marak menjulang,

(Al-Lail: 14)


Sedang aku asyik membaca, terlintas dalam fikiranku, tentang hakikat manusia mempercayai akan kebenaran hari akhirat. Kita, selaku manusia yang dengan lantang menyuarakan bahawa aku ini umat Muhammad saw, memegang risalah Islam yang dibawa Muhammad saw, lantas dengan bangga mengakui kita ini menganut agama Islam, sudah semestinya mengetahui bahawa beriman kepada hari Qiamat adalah salah satu prinsip dalam rukun Iman. Yang menjadi persoalan disini ialah, sejauh manakah kita benar-benar beriman dengan Hari Akhirat (Qiamat)?

Bukan menjadi tujuan aku disini untuk mempertikaikan sejauh manakah berimannya kita kepada hari akhirat, namun tujuan aku disini adalah untuk memberi sedikit peringatan kepada diri ini yang sering lupa dan juga kepada sahabat-sahabat saudara seiman, untuk memberi sedikit ruang untuk merenung dan berfikir akan apa yang ingin aku sampaikan disini.

Ramai manusia masa kini begitu mudah melafazkan bahawa sesungguhnya kami beriman dengan hari Akhirat, namun sekali imbas dilihat daripada perlakuan mereka, boleh diragukan kenyataan itu. Kita semestinya sudah maklum bahawa perkara yang berkaitan dengan keimanan amat sukar untuk diperdebatkan, namun sekiranya seseorang itu benar-benar beriman, maka keimanannya itu akan diterjemahkan melalui amal perbuatannya. Maka sekiranya amal perbuatan tidak menterjemahkan apa yang diperkatakan, maka kenyataannya itu selayaknya dipersoalkan.

Aku melihat bagaimana manusia semakin terikat dengan kehidupan dunia, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sekiranya diperhatikan, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada hari akhirat, sudah semestinya mereka berlumba-lumba untuk berbuat amal kebajikan. Namun, hal sedemikian tidak terjadi. Dunia masa kini menyaksikan banyak penindasan semakin berlaku. Manusia kembali kepada tingkatan darjat rendah mereka semula dengan bersikap mementingkan diri, tamak haloba dan berniat membolot segala harta kekayaan yang ada di bumi demi milik perseorangan. Kebanyakkan mereka, sekiranya ditanya apakah kamu beriman dengan hari Akhirat, sudah semestinya mereka menjawab YA. Kadangkala perkara ini juga secara tidak disedari berlaku kepada para dai’. Menggunakan dakwah sebagai alasan untuk mengecapi beberapa kesenangan. Bagi mereka yang mengerti, risalah Islam ini terbina dengan iman yang benar-benar yakin yang kemudiannya diterjemahkan kepada perbuatan. Boleh diperkatakan bahawa pembentukan akhlak yang mulia merupakan landasan pertama dalam membina satu batu tangga dalam mengharungi ranjau dakwah. Maka iman yang sebenar-benar yakin amatlah penting besertakan dengan akhlak yang mulia. Jika manusia benar-benar yakin kepada hari Pembalasan, maka tidak seharusnya terjadi penindasan oleh yang kuat terhadap yang lemah, seharusnya tiada sifat dengki, tamak haloba, rasuah dan sebagainya. Jika manusia benar-benar mengimani hari Akhirat, maka sudah semestinya dia mengerti bahawa kehidupan dunia hanyalah perkara yang sia-sia sekiranya cuba dikejar. Apalah yang ada dengan pangkat dan harta didunia ini sekiranya tidak menjamin kesenangan hidup Akhirat kelak. Para sahabat terdahulu, sekiranya disebut tentang dunia Akhirat, nescaya bergetar hati mereka. Cuba kita tanya diri kita sekarang, apakah kan bergetar hati kita ini sehingga menitis air mata bila mana mendengar kehidupan Akhirat.

Manusia begitu mudah terpesona dengan kesenangan, keenakkan nikmat duniawi, walhal perkara tersebut tidak menjamin setitis melainkan dugaan yang hanya menentukan balasan syurga mahupun neraka. Semakin ramai manusia dinihari, makin larut dalam hiburan permainan dunia. Semakin mereka lupa akan hakikat kebenaran hari akhirat. Semakin dekat pula mereka untuk menjadi seperti manusia barat yang berfikiran kolot bahawa kehidupan dunia ini adalah segalanya. Semakin menjadi-jadi, bahkan meluap-luap nafsu syahwat mereka dalam mengecapi kesenangan dunia yang akan berakhir dengan sekelip mata sahaja. Hai manusia! Apakah kamu ingin menjadi seperti manusia yang hidup di zaman jahiliyah? Tatkala datang perutusan dari Muhammad tentang kebenaran hakikat dunia Akihirat, lantas mereka menolak bahkan memperolokkan Muhammad!?

“Dan mereka berkata: "Bilakah (datangnya) janji ini, jika kamu adalah orang-orang yang benar?."

(Saba’ : 29)

“Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al Quran) serta (mendustakan) menemui hari akhirat, maka mereka tetap berada di dalam siksaan (neraka).”

(Ar-Ruum : 16)

Kehidupan dunia ini memang tidak dinafikan, begitu mengancam. Kehidupan berkeluarga juga boleh menjadi suatu ancaman yang besar. Namun, ini bukannya persoalan yang mampu untuk aku memperkatakan, memandangkan aku bukan berada diposisi yang sesuai untuk membicara mengenainya.

Perkara-perkara kecil makin menjadi-jadi. Harta, pangkat dan sebagainya, menghantui pemikiran-pemikiran tamak nafsu syahwat yang tidak membawa manusia kemana, melainkan ke neraka jahannam! Perkara-perkara kecil, dari sekecil-kecil untuk menderma, juga sudah tidak mampu dilakukan oleh umat yang begitu disegani suatu ketika dahulu dengan sifat kedermawanannya, meskipun diri berada dalam kesusahan yang amat-amat memerlukan. Kerana apa? Kerana benar mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Mereka begitu takut, sehinggakan harta yang dimiliki didunia cuba untuk digunakan sebaik-baik mungkin, sehabis-habis mungkin untuk membeli keseronokkan nikmat dunia Akhirat. Mereka benar-benar mengerti bahawa dunia ini tidak lain hanyalah ilusi, yang akan hilang apabila realiti menjelma.

Umat manusia kini semakin jatuh ke lembah fitnah dunia. Dari semenjak kejatuhan khilafah, malah sebelum kejatuhan khalifah lagi, telah lama manusia jatuh ke lembah fitnah dunia. Cuma ia semakin ketara selepas kejatuhan khalifah, lebih-lebih lagi dalam dunia masa kini yang serba moden. Manusia semakin tidak mengenal erti kepanasan berjalan di bawah sinar mentari yang terik dan merasai peluh masin mencurah-curah membasihi tubuh. Semua kerana mereka telah berasa selesa, selesa dengan nikmat dunia berada di dalam bilik dingin yang nyaman. Jauh sama sekali dari merasai keperitan yang dirasai oleh Nabi dan para sahabat merasa teriknya mentari gurun. Mahu berjalan berpuluh-puluh batu, masakan mahu mereka melakukan itu. Kereta yang dingin sudah tersedia, lagi menyebabkan mereka semakin lalai. Kereta besar lagi dingin, digunakan untuk kearah memperolehi harta dunia. Langsung tidak mampu untuk digerakkan ke masjid-masjid demi memenuhi tuntutan solat berjemaah. Semakin lama, manusia semakin larut. Jatuh ke dalam fitnah dunia. Kerana kesenangan yang mereka kecapi, menyebabkan mereka lupa akan keperitan yang dirasai oleh generasi terdahulu, lebih-lebih lagi para Rasul dan sahabat. Malah, semakin mereka melupai akan kisah-kisah keperitan dan kesusahan yang mereka alami. Semua kerana mausia sudah jatuh kedalam nikmat kesenangan dunia, bukan nikmat kesusahan dunia demi kesenangan Akhirat.

Maka, aku menyeru kepada saudara seimanku, berimanlah kamu dengan hari Akhirat dengan sebenar-benar iman, maka kamu akan mendapati dirimu berada di landasan kebenaran. Hanya sekadar sedikit peringatan buat diri ini yang sering lupa. Moga kalian bermanfaat dengannya. InsyaALLAH.


Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).

(Al-Ankabut: 64)

Allahu’alam.