pengemis kasih ilahi

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq: 1-5)

Friday, March 02, 2007

Mercy upon mankind

Tatkala aku sedang mendengarkan lagu dendangan Sami Yusuf, terdengarkanlah oleh telingaku ini akan salah satu lirik lagunya:


He was Muhammad saw

Muhammad, mercy upon mankind.


Dialah Muhammad, tanda belas kasihan terhadap manusia. Ku tertanya kembali. Pernahkah manusia masa kini berfikir. Mengapa? Mengapakah manusia yang bernama Muhammad ini dikatakan sebagai tanda belas kasihan Allah terhadap manusia? Aku percaya sekiranya manusia mampu berfikir, semestinya mereka mengetahui mengapa dan akan mengikuti risalahnya dengan seyakin-yakinnya. Namun keadaan dunia masa kini menunjukkan sebaliknya. Aku tertanya kembali. Berfikirkah mereka? Adakah akal mereka sudah tidak mampu berfikir, kerana terlalu banyak disuap dengan santapan-santapan maksiat yang sudah cukup dimaklumi leluasanya didunia masa kini. Sehingga menyebabkan enjin-enjin yang menjana akal dan jiwa menjadi beku, tidak mampu berfungsi!

Jika kamu mengetahui, manusia sebelum kerasulan Nabi Muhammad saw, hampir kesemua mereka telah terjerumus kedalam dunia gelap kemaksiatan. Pembelotan, pembunuhan, hasad dengki, perompakan, penindasan dan sebagainya begitu menguasai dunia. Sehinggakan mereka hampir terjerumus kedalam lurah neraka yang menyala-nyala. Lalu lahirlah seorang manusia bernama Muhammad ke dunia masa itu, kembali membawa sinar cahaya ke dunia yang serba kegelapan itu. Lalu dibawanya manusia yang hampir terjerumus ke lurah neraka itu kembali ke landasan menuju ke syurga Allah swt. Inilah yang dikatakan sebagai mercy upon mankind. Rahmat Allah kepada manusia sebagai tanda belas kasihanNya terhadap manusia yang hampir terjerumus ke lurah neraka itu.

Namun, dunia masa kini kembali kepada dunia kegelapan itu. Semakin ramai yang beku akalnya, beku jiwanya. Semakin ramai yang ingin kembali ke lurah jahanam itu. Melarikan diri dari cahaya syurga yang dibawa Muhammad. Wahai manusia, sedarlah kamu! Kembalilah berfikir. Tiada apa yang mampu mengubah kamu, membawa kamu lari dari kegelapan dunia maksiat kepada cahaya syurga sekiranya kamu tidak mahu berfikir. Berfikirlah kamu akan nikmat yang telah dianugerahkan itu. Aku menyeru, merayu kepada kamu semua agar berfikir semula. Kembalilah ke landasan cahaya syurga yang dibawa Muhammad melalui risalahnya. Kembalilah kamu mengkaji risalah yang telah dibawanya, yakni daripada Rabb-bul-‘alamin, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang benar-benar memahami kamu. Kembalilah kamu wahai manusia. Sedarlah.