pengemis kasih ilahi

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq: 1-5)

Saturday, May 03, 2008


Syurga!Apakah sudah menjadi satu kebiasaan?

Bismillah-hir-Rahman-nir-Raheem

Dengan menyebut nama Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang menciptakan manusia sebagai bukti kehebatan dan kekuasaan-Nya. Tiada satu pun yang mampu mencipta melainkan Dia, tuhan yang pada-Nya terdapat segala kekuasaan dan gah, tuhan yang hanya Dia yang layak disembah. Ingatlah wahai saudaraku sekalian, sesungguhnya Allah berfirman di dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”

Ingatlah, sesungguhnya Allah menciptakan kita, manusia sebagai bukti kekuasaan-Nya dan agar kita mengerahkan segala keringat kearah pengabdian diri kita kepada-Nya. Sesungguhnya, Dia sahajalah tuhan yang Maha pengasih dan Penyayang keatas hamba-hambaNya, tuhan yang memiliki ‘arasy yang mulia daripada apa yang disifatkan.

Dunia masa kini menyaksikan manusia semakin lalai. Mereka lalai terhadap hakikat penciptaan diri mereka sendiri, seolah-olah kehidupan dan kematian itu suatu perkara yang remeh. Manusia sering kali diingatkan akan siksaan neraka yang menanti mereka yang lalai, namun telinga mereka seakan-akan pekak, tidak mampu mendengar kebenaran yang datang kepada mereka. Manusia semakin jauh terhadap hakikat mereka mencintai ilahi, kerana semakin ramai yang dikaburi dengan cinta palsu dunia.

Manusia masa kini semakin memandang enteng akan hakikat kebenaran akhirat. Perkataan syurga semakin mudah dilafazkan dimana-mana sahaja tanpa mengetahui akan hakikat syurga itu sendiri. Lihatlah lirik-lirik lagu, perkataan-perkataan yang dilafazkan oleh sang pencinta dengan wanita yang dicintainya, perkataan syurga sungguh amat mudah dilafazkan.

“Kita bercinta sehingga ke pintu syurga”

Apakah mereka benar-benar mengetahui bahawa pencintaan mereka akan membawa mereka ke pintu syurga? Tidak! Sesungguhnya mereka tiada mengetahui. Malahan, yang sungguh benar suka melafazkan perkataan syurga ini datang dari mereka yang jahil. Apakah mereka tidak mengetahui? Sekiranya amat mudah untuk memasuki syurga, mengapa perlu seorang manusia bernama Muhammad s.a.w bertungkus lumus, siang dan malam bekerja untuk mengharapkan keredhaan Allah? Mengapa perlu Nabi Muhammad ini menangis teresak-esak setiap malam dan solat malam sehingga bengkak jari-jari kakinya semata-mata mengharapkan pengampunan Allah? Itu Nabi! Sedangkan nabi sendiri, manusia yang maksum yang dijamin oleh Allah bahawa dosanya samada dulu sehinggalah yang akan datang diampunkan, masih lagi bertungkus-lumus mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah tidak pasti samada mampu menjejakkan kaki di syurga. Apatah lagi kita, manusia masa kini, yang jauh lebih lemah imannya. Apakah kamu begitu yakin akan mampu menginjakkan kaki kamu ke syurga?

Nabi sesungguhnya pernah didatangi oleh seorang lelaki, lalu bertanya kepadanya:

Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansoori, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Apa pandangan kamu jika sekiranya aku mengerjakan sembahyang yang difardhukan, berpuasa dibulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan aku tidak menambah walaupun sedikit. Adakah aku dapat memasuki syurga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ya.”

(Riwayat Imam Muslim)

Lelaki itu adalah an-Nu’man bin Qauqal al-Khuzaa’ie. Beliau menyertai peperangan Badar dan syahid diwaktu peperangan Uhud. Lihatlah akan maksud menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram. Apakah saudara sekalian mengerti akan maksud ini? Mengharamkan apa yang haram bererti menjauhinya sedangkan menghalalkan apa yang halal bererti mengerjakannya dengan beriktikad tentang halalnya. Banyak perkara boleh dimasukkan didalam ruang skop keluasan pengertian ayat tersebut. Amat panjang sekiranya hendak dijelaskan dengan lebih dalam maka usahalah saudaraku sekalian untuk kamu memahami erti ayat tersebut.

Sahabat Rasulullah sendiri amat khuatir akan mampukah mereka untuk memasuki syurga sehinggakan bertanya kepada Rasulullah. Itu merupakan sekecil-kecil amal yang mampu dilakukan oleh manusia. Sekarang bertanyalah kepada diri sendiri wahai saudaraku sekalian, apakah sekecil-kecil ‘amal (kelayakan/kriteria untuk ke syurga)ini telah kamu kerjakan agar dapat kamu memastikan alamat rumah akhirat kamu samada di syurga mahupun neraka. Bertanyalah kepada diri kamu sendiri wahai saudaraku apakah yang telah kamu lakukan untuk agama Allah ini dalam memastikan syurga yang sering kamu lafazkan akan mampu kamu kecapi suatu hari kelak. Bertanyalah kepada diri kamu sendiri dengan apa yang kamu ada sekarang akan mampukah membawa kamu ke syurga Allah? Bertanyalah kepada diri kamu sendiri wahai saudaraku sekalian, sesungguhnya tiada lain yang mampu untuk menyedari diri kamu sendiri akan hakikat ini melainkan diri kamu sendiri. Oleh itu, usahalah wahai saudaraku sekalian.


Wallahu'alam

Sunday, April 13, 2008


Keadaan? Atau Aku?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, penguasa dilangit dan dibumi. Penguasa dengan didalam genggaman-Nya terletak segala kekuatan, kebijaksanaan dan kekuasaan. Tuhan sekalian alam yang hanya Dialah yang layak disembah, tiada yang layak disembah melainkan-Nya, yang memiliki ‘arasy yang mulia daripada apa yang disifatkan.

Sedang aku menerokai laptop aku, terlihat olehku satu folder yang sudah cukup lama terbiar dan tidak dibuka. Lalu, ku buka folder itu, terlihat olehku video klip sewaktu aku masih lagi di tahun pertama. Ketika itu, aku masih lagi di bumi Australia, bumi yang telah banyak berjasa dalam mengajarku erti hidup serta hakikat dunia. Aku buka dan mainkan video klip itu, kelihatan mus’ab, selaku perakam video mengatakan sesuatu:

“This is an OSCE station xx, interview with Mr G. Your time starts now.”

Lalu kelihatan zumindar memulakan proses ‘clerking’ atau interviewing Mr G (the patient), dimana aku selaku pelakonnya. Semakin lama aku menonton video itu, semakin dalam perasaan yang kualami. Aku terkenangkan keadaan dan kenangan sewaktu di bumi kangaroo itu. Didalam video itu kelihatan Arif sedang mengawasi masa. Aah, baru ku teringat, masa untuk satu station OSCE yang dibenarkan hanyalah selama 8 minit. Aku tatapi lagi video itu, semakin lama, semakin tidak dapat aku menahan diri dari mengingatkan pegalaman dan kenagan manis disana. Imbauan kenangan lalu sering kali terlintas di kotak fikiranku semasa aku menonton video itu.

Aku teringat, bagaimana aku mula mengenali zumindar sewaktu disana. Tahun pertama perubatan di Monash University, Clayton Campus. Aku mengenali zumindar semenjak di INTEC lagi, namun aku seperti tidak mengenali dirinya yang sebenar. Meskipun satu kelas pengajian Islam sewaktu di INTEC, namun aku jarang sekali berbual, apatah lagi cuba untuk mengenalinya. Namun, entah kenapa, hubungan kami begitu erat semenjak menjejakkan kaki di bumi Clayton. Begitu juga halnya dengan Mus’ab dan Arif. Antara mereka bertiga, Arif lah yang paling lama aku kenali, yakni sewaktu di bangku sekolah menengah atas. Namun pelik sekali, hubungan aku dengannya seakan berbeza ketika aku disekolah dengan sewaktu di Australia. Hendak dikatakan, aku sepatutnya sudah menjadi rakan yang amat akrab dengan Arif, kerana kami juga pergi ke institusi persedian yang sama. Namun, persahabatan kami tidaklah seerat yang disangkakan. Namun, keadaannya begitu berbeza pula sewaktu di Australia. Entah kenapa, hubungan aku dengan Arif jauh lebih erat meskipun dalam waktu yang singkat. Mungkin juga perkenalan sewaktu disekolah dahulu lebih kepada hubungan persaingan. Haha. Apa tidaknya, dia seringkali menjadi top scorer. Aku! Aku hanyalah underdog. Hahaha. Namun, semua itu menjadi begitu kerdil dibandingkan dengan persahabatan dan persefahaman yang dapat dijalin sewaktu di Clayton. Aku pun menjadi pelik. Waktu yang bertahun-tahun seakan-akan kerdil dibandingkan dengan waktu di Clayton.

Begitu juga dengan persahabatanku dengan Mus’ab. Kami menginap dibawah satu bumbung yang sama sewaktu di institusi persediaan. Namun entah kenapa, aku merasakan hubunganku dengannya cukup akrab juga sewaktu di bumi kangaroo. Bermalam dirumahnya ketika di Australia merupakan pengalaman yang cukup indah. Ketika itu, aku menginap di MONASH HALL of residence, manakala dia menginap dirumah sewa ‘STOCKDALE’. Haha. Rumahnya dipanggil STOCKDALE kerana jalan rumahnya bernama stockdale. Entah nama siapalah yang diambil untuk menjadi nama jalan.

Banyak kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan ketika disana. Teringat aku bagaimana aku sering kerumah zumindar dan bermalam disana. Pastikan ku terjumpa Mus’ab senantiasa disana. Semenjak itu, kami boleh digelar TRIO kerana kemana sahaja, mesti kami bertiga. Bahkan sehingga kini, masih lagi TRIO. Namun, dekat-dekat penghujung waktu di Clayton, pakatan TRIO dipecahkan kepada FOURTH-IO, dengan kemasukan Arif. Hahaha. Cukup kelakar sekali bila mengenangkan sewaktu kami practice OSCE. Bagaimana masing-masing masih lagi mampu membuat lawak meskipun saat exam sudah semakin dekat. Tidak ternampak langsung sinar STRESS dari wajah kami semua. Cukup indah. Bertambah indah lagi bagaimana kami senantiasa memperingati diri antara satu sama lain. Cukup indah juga ketika mendengar alunan suara sang imam yang meng’imami’ solat jamaah. Aaah, sungguh bermakna sekali masa yang dilakukan bersama sewaktu disana.

Namun……

Ketika kini, perasaan kebersamaan itu amat jarang sekali dapat dirasai. Meskipun aku, Mus’ab dan zumindar menginap di bawah satu bumbung yang sama, seakan-akan kami amat jauh sekali. Apakah keadaan sudah seperti kembali sewaktu di pusat persediaan dahulu, meskipun dibawah satu bumbung yang sama, tetapi hati masing-masing amat jauh daripada satu sama lain? Masing-masing sudah semakin sibuk dengan hal masing-masing. Kami sudah semakin cenderung kearah individualistic. Sudah amat jarang sekali kedengaran suara gelak ketawa bersama semasa mem-‘baking’ Cheese Cake. Amat jarang juga kedengaran alunan tazkirah dan peringatan. Apakah yang sedang berlaku? Apakah aku sahaja yang merasakan sedemikian? Apakah aku yang sudah berubah ataupun keadaan yang berubah? Apakah keadaan yang merubah aku, ataupun aku yang merubah keadaan? Aku bingung. Apakah kerana suasana di Malaysia ini yang memaksa kami untuk semakin menjadi individualistic? Apakah mungkin? Aku selalu menenangkan diri dengan mengatakan keadaan di Malaysia ini sungguh lain dari bumi Clayton. Mungkin juga kerana selalu diingatkan bahawa Malaysia merupakan bumi ujian dan bumi Australia itu adalah bumi yang ‘ideal’. Apakah benar? Apakah keadaan yang berbeza ataupun aku yang berbeza? Jika keadaan yang hendak dipersalahkan, maka apakah bezanya aku dengan masyarakat jahiliyyah Arab sewaktu dizaman Rasulullah saw. Mereka, masyarakat jahiliyyah menyalahkan keadaan yang memaksa mereka untuk menurut agama nenek moyang mereka dan menolak kebenaran Islam. Jadi, apakah bezanya aku dengan mereka? Apakah aku juga hendak menyalahkan keadaan di Malaysia yang merubah diri? Tidak. Sesungguhnya manusialah yang membina keadaan, bukannya keadaan yang membina manusia. Jika keadaan di Malaysia ini sudah begitu teruk, maka akulah yang harus mengubahnya, dimulai dengan diriku dahulu. Apakah gunanya alasan keadaan di hadapan Allah kelak. Aku harus kembali membina keadaan sewaktu mana di bumi Australia dahulu. Kembalilah memperingati antara satu sama lain. Kembalilah berjamaah. Gelak ketawa kalian sewaktu di bumi kangaroo amatku tagihi…

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., pelayan Rasullullah saw, bahawa Rasullullah saw bersabda, “Seseorang diantara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Thursday, April 03, 2008


Timor 2


Jam ditangan sudah menunjukkan angka 8. Sudah tiba masanya untuk dia melangkah ke dalam wad Timor 2: Pembedahan wanita. Hari ini sekali lagi dia mengharapkan agar dapat melihat kes-kes baru yang ‘interesting’. Dari jauh sudah kelihatan seorang MO (medical officer) sdang sibuk dengan service roundnya. Dia mendekati M.O itu, lalu memperkenalkan diri.

“Excuse me sir. I’m Musafir bumi, 3rd year medical student from Monash University. Would it possible for me to join your ward round?”

Pertanyaannya dijawab dengn penuh bersemangat oleh MO itu. Barangkali teringat zaman mudanya dahulu.

“Absolutely”.

Bagaikan magnet yang melekat, dia pun mengekori MO tersebut sambil mendengar penjelasan demi penjelasan serta soalan yang ditimbulkan dan ditanya oleh M.O . Dari satu pesakit ke satu pesakit. Akhirnya dia sampai ke seorang pesakit dalam lingkungan empat puluhan. Seorang perempuan Cina. M.O tersebut terus memeriksa dan meminta segala detail mengenai pesakit itu daripada haouseman yang bertugas. Agak kelam-kabut haouseman itu ingin memenuhi segala permintaan dan soalan-soalan yang dikemukakan. MO itu menjelaskan bahawa perempuan Cina itu menghidap Colorectal cancer (Kanser Usus besar). Jelas kelihatan riak wajah perempuan Cina itu menunjukkan rasa cemasnya. Banyak soalan yang diajukannya kepada MO lebih-lebih lagi mengapa dia harus menunggu lebih kurang dua minggu untuk menjalani pembedahan. Agak bercelaru juga MO itu dibuatnya. Puas Mo itu menjelaskan bahawa ada ramai lagi pesakit kanser yang perlu menjalani pembedahan sebelumnya, yang mana lebih awal ke hospital berbanding perempuan Cina itu tadi. Namun, samada tidak mengerti atau pura-pura tidak mengerti, perempuan Cina itu kembali menegaskan bahawa keadaannya itu sudah lama dan benar-benar merasakan dia harus diberi lebih keutamaan.

Dia yang dari tadi memerhati dari tepi merasa kasihan terhadap perempuan Cina itu. Perempuan Cina itu menjelaskan tentang keperitan hidupnya yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital private. Jauh disudut hati dia, dia merasakan bagaimana manusia sentiasa ingin mengelak dari kematian. Begitu bersungguh-sungguh manusia cuba mengelak seboleh-bolehnya dari kematian. Dia dapat melihat bagaimana risau dan cemasnya perempuan Cina itu tadi tentang kematian yang terbayang-bayang dihadapan wajahnya. Jika hendak diikutkan, prognosis (Jangkaan skala hidup) perempuan Cina itu boleh dikatakan baik lagi kerana kansernya tidak metastases lagi (yakni tidak merebak ke anggota badan yang lain).

Dia yang masih lagi berdiri di tepi termenung, memikirkan tentang kematian diri yang tidak diketahui. Entah bilakah masanya? Kumohon Allah memberkahi waktu yang masih ada.

Wallahu’alam.

Wednesday, October 03, 2007


Tangislah


Tangislah kerana TuhanMu,
Kerana tangisan itu menyucikan Dirimu.


Salam 10 terakhir Ramadhan, Moga dipertemukan dengan Lailatul-Qadr.

Friday, August 17, 2007

Keimanan kepada Hari Akhirat

Bismillahir-rahmanir-rahim

Dengan menyebut nama Allah yang menciptakan, segala puji bagi Allah, tuhan penguasa di langit dan dibumi. Maha Terpuji Engkau, Maha Suci Engkau, Maha Tinggi Engkau, yang memiliki ‘Arasy yang mulia daripada apa yang mereka sifatkan. Tuhanku, sesungguhnya kepada Engkaulah terdapatnya panduan hidup, maka Kau berikanlah bantuan-Mu dengan melorong hala tuju hidup hamba-Mu ini kepada pintu rahmat-Mu.

Disini ingin aku mengajak saudara-saudara seiman agar takut kepada Allah dan azab-Nya, sesungguhnya Allah berfirman dalam surah Al-Layl:


Maka (serentak Dengan memberi hidayah petunjuk) Aku memperingatkan kamu akan api neraka Yang marak menjulang,

(Al-Lail: 14)


Sedang aku asyik membaca, terlintas dalam fikiranku, tentang hakikat manusia mempercayai akan kebenaran hari akhirat. Kita, selaku manusia yang dengan lantang menyuarakan bahawa aku ini umat Muhammad saw, memegang risalah Islam yang dibawa Muhammad saw, lantas dengan bangga mengakui kita ini menganut agama Islam, sudah semestinya mengetahui bahawa beriman kepada hari Qiamat adalah salah satu prinsip dalam rukun Iman. Yang menjadi persoalan disini ialah, sejauh manakah kita benar-benar beriman dengan Hari Akhirat (Qiamat)?

Bukan menjadi tujuan aku disini untuk mempertikaikan sejauh manakah berimannya kita kepada hari akhirat, namun tujuan aku disini adalah untuk memberi sedikit peringatan kepada diri ini yang sering lupa dan juga kepada sahabat-sahabat saudara seiman, untuk memberi sedikit ruang untuk merenung dan berfikir akan apa yang ingin aku sampaikan disini.

Ramai manusia masa kini begitu mudah melafazkan bahawa sesungguhnya kami beriman dengan hari Akhirat, namun sekali imbas dilihat daripada perlakuan mereka, boleh diragukan kenyataan itu. Kita semestinya sudah maklum bahawa perkara yang berkaitan dengan keimanan amat sukar untuk diperdebatkan, namun sekiranya seseorang itu benar-benar beriman, maka keimanannya itu akan diterjemahkan melalui amal perbuatannya. Maka sekiranya amal perbuatan tidak menterjemahkan apa yang diperkatakan, maka kenyataannya itu selayaknya dipersoalkan.

Aku melihat bagaimana manusia semakin terikat dengan kehidupan dunia, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sekiranya diperhatikan, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada hari akhirat, sudah semestinya mereka berlumba-lumba untuk berbuat amal kebajikan. Namun, hal sedemikian tidak terjadi. Dunia masa kini menyaksikan banyak penindasan semakin berlaku. Manusia kembali kepada tingkatan darjat rendah mereka semula dengan bersikap mementingkan diri, tamak haloba dan berniat membolot segala harta kekayaan yang ada di bumi demi milik perseorangan. Kebanyakkan mereka, sekiranya ditanya apakah kamu beriman dengan hari Akhirat, sudah semestinya mereka menjawab YA. Kadangkala perkara ini juga secara tidak disedari berlaku kepada para dai’. Menggunakan dakwah sebagai alasan untuk mengecapi beberapa kesenangan. Bagi mereka yang mengerti, risalah Islam ini terbina dengan iman yang benar-benar yakin yang kemudiannya diterjemahkan kepada perbuatan. Boleh diperkatakan bahawa pembentukan akhlak yang mulia merupakan landasan pertama dalam membina satu batu tangga dalam mengharungi ranjau dakwah. Maka iman yang sebenar-benar yakin amatlah penting besertakan dengan akhlak yang mulia. Jika manusia benar-benar yakin kepada hari Pembalasan, maka tidak seharusnya terjadi penindasan oleh yang kuat terhadap yang lemah, seharusnya tiada sifat dengki, tamak haloba, rasuah dan sebagainya. Jika manusia benar-benar mengimani hari Akhirat, maka sudah semestinya dia mengerti bahawa kehidupan dunia hanyalah perkara yang sia-sia sekiranya cuba dikejar. Apalah yang ada dengan pangkat dan harta didunia ini sekiranya tidak menjamin kesenangan hidup Akhirat kelak. Para sahabat terdahulu, sekiranya disebut tentang dunia Akhirat, nescaya bergetar hati mereka. Cuba kita tanya diri kita sekarang, apakah kan bergetar hati kita ini sehingga menitis air mata bila mana mendengar kehidupan Akhirat.

Manusia begitu mudah terpesona dengan kesenangan, keenakkan nikmat duniawi, walhal perkara tersebut tidak menjamin setitis melainkan dugaan yang hanya menentukan balasan syurga mahupun neraka. Semakin ramai manusia dinihari, makin larut dalam hiburan permainan dunia. Semakin mereka lupa akan hakikat kebenaran hari akhirat. Semakin dekat pula mereka untuk menjadi seperti manusia barat yang berfikiran kolot bahawa kehidupan dunia ini adalah segalanya. Semakin menjadi-jadi, bahkan meluap-luap nafsu syahwat mereka dalam mengecapi kesenangan dunia yang akan berakhir dengan sekelip mata sahaja. Hai manusia! Apakah kamu ingin menjadi seperti manusia yang hidup di zaman jahiliyah? Tatkala datang perutusan dari Muhammad tentang kebenaran hakikat dunia Akihirat, lantas mereka menolak bahkan memperolokkan Muhammad!?

“Dan mereka berkata: "Bilakah (datangnya) janji ini, jika kamu adalah orang-orang yang benar?."

(Saba’ : 29)

“Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al Quran) serta (mendustakan) menemui hari akhirat, maka mereka tetap berada di dalam siksaan (neraka).”

(Ar-Ruum : 16)

Kehidupan dunia ini memang tidak dinafikan, begitu mengancam. Kehidupan berkeluarga juga boleh menjadi suatu ancaman yang besar. Namun, ini bukannya persoalan yang mampu untuk aku memperkatakan, memandangkan aku bukan berada diposisi yang sesuai untuk membicara mengenainya.

Perkara-perkara kecil makin menjadi-jadi. Harta, pangkat dan sebagainya, menghantui pemikiran-pemikiran tamak nafsu syahwat yang tidak membawa manusia kemana, melainkan ke neraka jahannam! Perkara-perkara kecil, dari sekecil-kecil untuk menderma, juga sudah tidak mampu dilakukan oleh umat yang begitu disegani suatu ketika dahulu dengan sifat kedermawanannya, meskipun diri berada dalam kesusahan yang amat-amat memerlukan. Kerana apa? Kerana benar mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Mereka begitu takut, sehinggakan harta yang dimiliki didunia cuba untuk digunakan sebaik-baik mungkin, sehabis-habis mungkin untuk membeli keseronokkan nikmat dunia Akhirat. Mereka benar-benar mengerti bahawa dunia ini tidak lain hanyalah ilusi, yang akan hilang apabila realiti menjelma.

Umat manusia kini semakin jatuh ke lembah fitnah dunia. Dari semenjak kejatuhan khilafah, malah sebelum kejatuhan khalifah lagi, telah lama manusia jatuh ke lembah fitnah dunia. Cuma ia semakin ketara selepas kejatuhan khalifah, lebih-lebih lagi dalam dunia masa kini yang serba moden. Manusia semakin tidak mengenal erti kepanasan berjalan di bawah sinar mentari yang terik dan merasai peluh masin mencurah-curah membasihi tubuh. Semua kerana mereka telah berasa selesa, selesa dengan nikmat dunia berada di dalam bilik dingin yang nyaman. Jauh sama sekali dari merasai keperitan yang dirasai oleh Nabi dan para sahabat merasa teriknya mentari gurun. Mahu berjalan berpuluh-puluh batu, masakan mahu mereka melakukan itu. Kereta yang dingin sudah tersedia, lagi menyebabkan mereka semakin lalai. Kereta besar lagi dingin, digunakan untuk kearah memperolehi harta dunia. Langsung tidak mampu untuk digerakkan ke masjid-masjid demi memenuhi tuntutan solat berjemaah. Semakin lama, manusia semakin larut. Jatuh ke dalam fitnah dunia. Kerana kesenangan yang mereka kecapi, menyebabkan mereka lupa akan keperitan yang dirasai oleh generasi terdahulu, lebih-lebih lagi para Rasul dan sahabat. Malah, semakin mereka melupai akan kisah-kisah keperitan dan kesusahan yang mereka alami. Semua kerana mausia sudah jatuh kedalam nikmat kesenangan dunia, bukan nikmat kesusahan dunia demi kesenangan Akhirat.

Maka, aku menyeru kepada saudara seimanku, berimanlah kamu dengan hari Akhirat dengan sebenar-benar iman, maka kamu akan mendapati dirimu berada di landasan kebenaran. Hanya sekadar sedikit peringatan buat diri ini yang sering lupa. Moga kalian bermanfaat dengannya. InsyaALLAH.


Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).

(Al-Ankabut: 64)

Allahu’alam.

Wednesday, May 30, 2007

Ujian


Buat sahabatku yang sedang meniti ranjau ujian dan dugaan dalam menempuh ranjau dakwah. Aku disini mendoakan semoga dapat kau tempuhi ribut yang mendatang dengan sabar dan tabah serta kecekalan sebagai seorang dae’i.


Wahai sahabat,
Aku tahu,
Disebalik senyumanmu,
Terlindung duka yang sengaja kau sembunyikan.


Wahai sahabat,
Aku tahu,
Meskipun kau senantiasa gembira,
Namun disebalik wajah itu,
Dapatku melihat,
Kesedihan yang sukar kau tangani.


Wahai sahabat,
Jika kau mendengar,
Dengarkanlah,
Bahawa sesungguhnya Allah berjanji,
Sesudah kesusahan, akan pastinya datang kesenangan.


Wahai sahabat,
Pintalah pada Allah,
Mohonlah pada-Nya,
Agar diberikan dikau kekuatan,
Menempuhi ribut yang mendatang.


Wahai sahabat,
Aku pohon,
Jika kau bersedih lagi,
Carilah aku,
Kerana aku disini,
Senantiasa ada untuk membantu,
Atas nama ukhuwwah yang telah lama dibina.

**********************

"Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu."

(Al-Maa'idah: 48)

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

(At-Taubah: 16)

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui."

(Az-Zumar: 49)




Thursday, April 19, 2007


Parlimen Iblis!


Dengan menyebut nama Allah, tuhan penguasa dilangi dan di bumi, pencipta alam yang serba sempurna. Maha tinggi Allah, tuhan seluruh alam semesta.


Alangkah tersentuh rasa hati setelah membaca kasidah yang begitu menyemarakkan jiwa ini. Sebagai seorang pemuda yang mencari keredhaanNya, aku benar-benar merasakan kalian semua mesti membaca kasidahnya ini dari seorang penyair. Bacalah wahai sahabat, dengan menyebut nama tuhanMu yang Maha Esa...


“Seorang penyair dan pujangga Islam ternama, Muhammad Iqbal, di dalam kasidahnya yang amat indah berjudul “Parlimen Iblis”. Beliau menggambarkan jalannya sidang Parlimen Iblis yang anggota-anggotanya terdiri dari syaitan-syaitan. Dalam kasidahnya itu beliau menceritakan sebagai berikut:


Pada suatu hari syaitan-syaitan, pembantu Iblis dan para pendukungnya berkumpul di dalam Parlimen. Mereka berbincang tentang jalannya kehidupan dunia serta bahaya-bahaya bencana yang akan datang, yang akan merosak tatahidup keiblisan dan kesetanan. Mereka bertukar fikiran mengenai ancaman yang mengepung mereka dari segala jurusan. Salah-satu di antara syaitan-syaitan itu ada yang menyebut-nyebut bahaya sistem republik yang harus diperhitungkan masak-masak. Syaitan yang lain menyahut:

“Hai, janganlah soal republik kau anggap besar dan menakutkan. Itu hanyalah selimut yang menutupi sistem kerajaan. Kamilah yang menyelimuti sistem kerajaan dengan baju republik, kerana kami melihat manusia sudah mulai menyedari bahawa dengan sistem republik itu mereka merasa mempunyai harga diri. Kami mengkhawatirkan terjadinya pemberontakan terhadap sistem kami, yang sudah pasti akan membawa akibat tidak baik. Oleh kerana itu manusia kami hibur dengan sistem republik, sebab dengan sistem itu kekuasaan tidak terletak di tangan seorang raja atau seorang pangeran. Sedangkan sistem kerajaan hanya terbatas pada adanya seorang yang menjalankan kekuasaan secara memusat dan sewenang-wenang. Sistem kerajaan tiada lain ialah di mana manusia hidup menggantungkan diri kepada orang lain, iaitu kepada raja yang selalu mengincar kekayaan orang lain, tidak peduli apakah kekayaan itu milik bangsanya atau milik perorangan. Tidakkah anda mengetahui sistem kenegaraan Barat yang berbentuk republik, yang tampak cerah berseri-seri padahal hakikatnya jauh lebih gelap daripada hati Gengis Khan?”.


Syaitan yang lain lagi menyahut: “Bentuk republik tidak mengapa, asal jiwa kerajaan masih tetap ada. Tetapi apakah yang hendak dikatakan oleh anggota terhormat mengenai bencana dahsyat yang akan dicetuskan oleh seorang Yahudi bernama Karl Marx, seorang cendekiawan bukan Nabi tetapi membawa kitab suci bagi para pengikutnya? Apakah anda mendengar berita bahawa ia telah menggoncangkan dunia, membangkitkan kaum budak supaya memberontak terhadap tuan-tuannya sehingga pemerintahan dan kekuasaan menjadi goyah?”


Syaitan yang satunya lagi menjawab, ditujukan kepada ketua sidang : “Yang Mulia, tukang-tukang sihir di Eropah, sekalipun mereka itu murid-murid tuan yang setia, namun saya tetap tidak dapat mempercayai kebenaran firasat mereka. Lihatlah itu orang Yahudi dan kaum Samiriy. Dia adalah duplikat Mazdak (seorang pemimpin gerakan sosialisme di Persia kuno). Ia hampir mencelakakan dunia dengan prinsip-prinsip ajarannya yang membuat orang-orang lemah menjadi kuat, membuat kaum jembel berani mendesak-desak raja dengan bahu dan mendorong-dorongnya dengan tangan. Pada mulanya gerakan sosialisme itu kami pandang enteng, tetapi lihatlah dia, sekarang telah meluas dan bahayanya telah memuncak. Lihatlah, bumi ini sudah terasa goncang kerana takut menghadapi bahaya mendatang. Tuan, dunia yang tuan perintah sekarang ini akan ambruk menimpa tuan, iaitu pada saat tatakehidupan dunia sudah berbalik, yang di atas menjadi di bawah yang di bawah menjadi di atas !“

Iblis yang memimpin sidang Parlimen syaitan itu menjawab :

“Pimpinan atas dunia ini berada di tanganku. Aku dapat berbuat sesuka hatiku. Dunia akan menyaksikan keanehan pada saat aku sudah mengadu-domba sesama bangsa Eropah. Mereka akan gigit-menggigit seperti anjing berkelahi, dan akan terkam-menerkam seperti serigala. Iaitu pada saat aku sudah membisiki telinga para pemimpin politik dan para pembesar kerohanian di gereja-gereja, mereka akan kehilangan fikiran sihat dan akan berbuat kegila-gilaan."

"Mengenai sosialisme yang kalian sebut-sebut itu, hendaklah kalian percaya bahwa fitrah manusia tidak dapat dibelokkan oleh logik Mazdak (falsafah sosialisme). Aku samasekali tidak takut menghadapi orang buronan sosialis, kaum jembel yang tolol itu! Yang sangat ku takuti justeru suatu umat yang masih menyimpan semangat hidup dan cita-cita luhur di dalam jiwanya. Di dalam umat tersebut masih terdapat orang-orang yang siang-malam giat bersembah sujud kepada Allah, dan airmatanya selalu membasahi pipi kerana sangat takut kepada Allah. Bagi orang yang berpengalaman dan mempunyai kekuatan firasat pasti menyedari, bahawa Islamlah bahaya hari esok dan bencana hari depan, bukan nya sosialisme."

"Aku tahu, bahawa umat Islam dewasa ini sudah banyak yang meninggalkan Al-Qur’an dan sekarang sedang dirangsang oleh harta kekayaan. Mereka sedang rindu ingin menimbun dan menyimpan harta sebanyak-banyaknya, sama seperti umat manusia lainnya. Aku tahu bahawa malam di Timur amat gelap-gelita, dan akupun tahu bahawa para ‘ulama Islam dan para pemimpinnya tidak mempunyai tangan putih yang memancarkan sinar cahaya yang dapat menembus kegelapan dan menerangi dunia. Akan tetapi aku khawatir sekali kalau-kalau cubaan dan ujian yang sedang dihadapi oleh umat Islam dewasa ini akan dapat membangkitkan mereka dari tidur dan mengarahkan mereka kembali kepada syari’at Muhammad s.a.w. Kalian kuperingatkan, bahawa agama Muhammad s.a.w. adalah agama yang tangguh melindungi pusakanya, pengawal kehormatan dan penjaga keselamatannya, agama keluhuran dan kemuliaan, agama kejujuran dan kesucian, agama kemanusiaan dan kepahlawanan, agama yang berjuang menghapuskan segala bentuk perbudakan, melenyapkan sisa-sisa penghambaan manusia oleh manusia, agama yang tidak membeza-bezakan antara si tuan dan si budak, agama yang tidak mengistimewakan orang yang berkuasa dari kaum yang sengsara, agama yang dengan zakat membersihkan harta dan noda dari kotoran hingga menjadi jernih dan murni, agama yang menjadikan para pemilik harta sebagai manusia-manusia yang memperoleh kepercayaan Allah dititipi kekayaan. Cubalah kalian renungkan, mana ada revolusi atau perubahan kekuasaan yang lebih besar bahayanya daripada yang akan dicetuskan oleh agama itu pada saat sudah menguasai alam fikiran dan menjiwai amal perbuatan manusia? Iaitu pada saat manusia sudah mulai berteriak : Bumi ini adalah milik Allah, bukan milik raja-raja dan sultan-sultan!"

"Oleh kerana itu kalian harus mencurahkan segala kekuatan untuk membuat agama itu tetap jauh dari pandangan mata manusia. Kalian harus giat bekerja agar setiap orang muslim lemah kepercayaannya kepada Tuhan, dan tipis keyakinannya terhadap kebenaran agama Islam. Adalah lebih baik bagi kita bila setiap orang muslim terus-menerus sibuk dan tenggelam menekuni ilmu kalam dan ilmu-ilmu ketuhanan (teologi) lainnya. Biarlah mereka sibuk menta’wilkan Kitab Allah dan ayat-ayat suci seenak sendiri. Tutuplah telinga setiap orang muslim rapat-rapat, kerana dengan kumandang adzan dan gema takbir ia dapat menghancurkan jimat-jimat dan mantera-mantera di dunia serta sanggup menggagalkan sihir kita. Kalian harus bekerja keras agar setiap orang muslim tidur nyenyak lebih lama dan agar kesanggupannya datang terlambat."

“Hai teman-teman, buatlah supaya setiap orang muslim tidak bekerja sungguh-sungguh dan bermalas-malas, agar ia tertinggal dalam perlumbaan di dunia ini. Adalah sangat baik bagi kita bila setiap orang muslim menjadi budak orang lain, meninggalkan dan menjauhi kehidupan dunia ini serta menyerahkannya kepada orang lain. Alangkah celakanya kita kalau umat Islam kerana dorongan agamanya akan sanggup mengawasi dan menyelamatkan dunia ini dari kehancuran!”

Ku petik tulisan-tulisan syair ini dari buku “Kerugian apa yang dideritai dunia akibat kemerosotan kaum muslimin.”